29 Disember 2008

Jantung

Degupan Jantung Tak Normal Boleh Sebabkan Strok

Pernahkah degupan jantung anda menjadi sekencang seperti pelari marathon sedangkan anda hanya duduk di kerusi? Sebenarnya degupan jantung yang laju atau tidak normal itu disebut sebagai atrial fibrillation (AF), iaitu masalah dua ruang atas jantung (atria) yang berdegup sangat kencang dan tidak terurus.

AF boleh menyebabkan seseorang itu berdegup melebihi 200 hingga 300 kali dalam seminit. Satu ketika dulu, AF tidak dilihat sebagai masalah yang mengancam nyawa dan ia kerap dikesan pada orang tua.

Namun, hari ini, AF turut dikesan pada golongan semuda 14 tahun. Selain itu, ia kerap terjadi dikalangan orang muda yang masih aktif bekerja, bersukan dan tiada masalah kesihatan (seperti diabetes atau tekanan darah tinggi).

Pakar Etektropsiologi, Institut jantun Negara (IJN), Dr. Razali Omar, berkata AF adalah faktor risiko tertinggi yang boleh menyebabkan strok.

“Degupan jantung yang kencang melebihi 200 hingga 300 kali dalam seminit menyebabkan ia tidak boleh mengepan dan mengecut (contract) dengan baik. Malah, dalam satu kajian oleh Institut Jantung Framingham, Massachusetts pada 1996 menunjukkan strok yang dikaitkan dengan AF dua kali lebih fatal berbanding strok yang tidak dikaitkan dengan AF,” katanya.

Beliau berkata, AF juga mungkin disebabkan komplikasi masalah jantung, diabetes atau tekanan darah tinggi.

“AF boleh bersifat sekejap ada, sekejap tiada hingga pesakit tidak menyedari dia berhadapan dengan AF. Namun AF juga boleh terjadi pada tahap kronik,” katanya.

Dr. Razali berkata, selalunya masalah AF ditangani dengan pemberian ubat-ubatan, tetapi ia tidak memberi kesan yang sama kepada semua pesakit.

“Ini kerana ada pesakit yang boleh sembuh dengan ubat tetapi ada pesakit yang masih mengalami AF walaupun selepas menerima rawatan,” katanya.

Justeru, satu lagi rawatan yang diberikan jika terapi ubat-ubatan gagal ialah prosedur kateter (tiub) radiofrekuensi ablasi (ablation-prosedur memusnahkan tisu di satu-satu kawasan). Dalam prosedur berkenaan, tenaga radiofrekuensi akan digunakan bagi memusnahkan tisu abnormal yang menyebabkan AF terjadi. Biasanya, kateter akan dimasukkan ke jantung melalui kemasukan kecil pada vena dan terus ke jantung. Ia dimasukkan ke vena melalui kaki. Di hujung wayar keteter ada elektrod yang menghantar gelombang radio bagi menghasilkan tenaga. Tenaga itu memusnahkan tisu jantung yang menyebabkan atrial tidak berdegup dengan betul.

Bagaimanapun, prosedur ini memakan masa hampir lima jam kerana ia memerlukan doktor menjelajah dan melakukan ablasi atrium kanan dengan menggunakan satu kateter elektrod yang sebenarnya direka untuk atrium kiri. Justeru, ia perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelak terkena struktur organ berdekatan seperti saluran makanan (esofagus).

Sejak 1999, IJN sudah menjalankan prosedur ini dalam masa dua jam menggunakan teknologi kateter yang lebih inovatif dalam merawat AF. Kaedah baru ini membolehkan satu prosedur invasif minimum dalam jangka masa yang lebih singkat. Dr. Razali Omar berkata, Malaysia adalah antara dua negara pertama di Asia menggunakan teknologi ini selain Hong Kong.

Prosedur ini dibuat bagi mengasingkan secara elektronik vena pulmonari daripada atrial kanan. Elektrod boleh dihidupkan serentak untuk satu bulatan kateter. Kaedah ini memendekkan masa prosedur AF kepada dua jam saja.

“Kaedah baru ini membolehkan kateter sampai ke vena pulmonari dan prosedur boleh dilakukan dengan cepat dan selamat,” katanya.

Ihsan : Berita Harian